Wednesday, October 29, 2014

Kata negatif sekat keyakinan anak

Semua ibu bapa mahukan yang terbaik buat anak masing-masing, malah mengimpikan zuriat mereka berjaya mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Namun apakah peranan yang perlu dimainkan ibu bapa untuk membantu anak mereka berkembang dengan baik seterusnya mampu berdiri dalam kalangan orang yang berjaya?

Membesarkan anak bukanlah suatu perkara yang mudah kerana ia menuntut kasih sayang tidak berbelah-bahagi, disiplin tinggi serta cara berkomunikasi yang berkesan.

Pemikiran positif yang diterapkan dalam diri anak berdasarkan pemikiran positif ibu bapa melalui perkataan baik dan membina, juga penting untuk memastikan perkembangan diri terbaik anak mereka.

Sekiranya ibu bapa mahukan anak yang positif dan berjaya, mereka perlu menerapkannya dalam diri anak bukan saja melalui contoh perlakuan, tetapi kata-kata yang banyak memberi rangsangan kepada minda anak.

Cara membesarkan anak yang negatif misalnya gemar memaki hamun atau mengejek apa saja yang dilakukan anak boleh 'membunuh' potensi mereka.

Ini kerana anak insan yang sensitif dan sentiasa mengharapkan penerimaan ibu bapa yang dianggap suatu restu kepada mereka.

Pada diri anak, ibu bapa adalah insan paling penting di dalam dunia ini dan mereka bergantung kepada ibu bapa bukan saja dari segi fizikal, tetapi juga emosi.

Kata-kata negatif yang keluar dari mulut ibu bapa kepada mereka akan merosakkan keyakinan diri seterusnya menyekat perkembangan anak, lalu mereka mula putus harapan untuk berjaya apatah lagi apabila berasa diri mereka tidak disayangi atau dipedulikan.

Perkataan positif ternyata alat paling kuat yang boleh digunakan ibu bapa untuk membantu perkembangan anak masing-masing.

Selalunya apa yang berlaku, ibu bapa tidak menggunakan cara positif menegur kesalahan anak, namun golongan cilik kurang memahami teguran bersifat keras tanpa diberikan sebarang penjelasan mengenainya.

Apabila anak membuat kesilapan, ada sesetengah ibu bapa gemar menggunakan pendekatan marah tanpa disusuli penjelasan.

Akibatnya, kemarahan ibu bapa tidak memberikan sebarang perubahan pada anak terutama yang masih kecil kerana mereka tidak tahu punca ibu bapa marah, malah tidak menyedari kesalahan mereka.

Setiap larangan ibu bapa juga seharusnya disertakan dengan penerangan supaya anak faham dan tidak akan melakukannya, selain menggalakkan mereka berfikir.

Anak menganggap kasih sayang bukan setakat dijaga, diberi duit belanja, disediakan tempat tinggal atau dibelikan hadiah, tetapi juga berdasarkan kata positif yang keluar dari mulut ibu bapa.

Kata positif daripada ibu bapa bukan saja menaikkan semangat dan meningkatkan keyakinan diri, tetapi ia juga mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Nasihat atau larangan yang disampaikan secara positif oleh ibu bapa boleh menjadi azimat kepada anak terutama apabila kanak-kanak dan remaja begitu mudah terpengaruh dengan anasir negatif di persekitaran mereka.

Positif harus bertempat

Menurut Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja Pusat Pengajian Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Khaidzir Ismail, kata-kata ibu bapa adalah doa dan setiap yang keluar dari mulut mereka mampu memberi impak kepada anak.

Beliau berkata, kata positif daripada ibu bapa memberi kesan yang positif kepada jiwa anak, menenangkan emosi mereka dan mampu dijadikan contoh kepada anak apabila mereka bercakap dengan orang lain.

"Secara tidak sedar, ibu bapa contoh perlakuan kepada anak. Sekiranya mereka suka menjerit-jerit, memaki hamun dan marah-marah, anak akan mengikut perangai yang sama dan kemungkinan akan melawan ibu bapa apabila ditegur.

"Kata-kata positif tidak bermaksud anak perlu dipuji sentiasa sebaliknya mereka perlu ditegur dengan bijaksana selain diberi penerangan kepada semua perkara yang ditegur oleh ibu bapa.

"Misalnya apabila ibu bapa berkata 'jangan keluar', ia sepatutnya disusuli dengan penerangan penuh alasan anak mereka dilarang keluar, bukan sekadar melarang saja," katanya.

Menurut Dr Khaidzir, kesilapan ibu bapa apabila menganggap anak mereka tidak memahami teguran atau segelintir ibu bapa yang berasa anak mereka perlu sentiasa dipuji supaya menjadi orang yang positif.

Sebaliknya, beliau berkata, ibu bapa perlu bersikap realistik dan menegur kesalahan yang perlu ditegur, selain menjadi pengkritik yang berhemah demi memajukan anak masing-masing.

"Jika anak sentiasa dipuji dan tidak pula ditegur, anak akan tenggelam kerana pujian dan sukar menerima realiti apabila dikritik.

"Mereka perlu diajar berfikir dan diterangkan mengenai tindakan yang diambil dan akibat yang diterima daripada setiap tindakan yang dilakukan.

"Misalnya apabila anak menangis kerana mendapat B dalam subjek di sekolah, ibu bapa yang bijak tidak sepatutnya menenangkan anak dengan mengatakan tidak mengapa dapat B kerana ramai lagi yang mendapat markah yang sama.

"Sebaliknya ibu bapa sepatutnya menerangkan kepada anak bahawa markah B yang mereka dapat disebabkan usaha yang tidak cukup untuk mendapat markah A dan menggalakkan anak belajar lebih tekun untuk mencapai A. Inilah kata positif yang sebenarnya diperlukan oleh anak," katanya.

Menurutnya, kadangkala bersikap positif tidak kena situasi boleh merosakkan anak dan menyebabkan mereka tidak mampu berfikir dengan rasional.

Sikap berterus-terang amat penting dalam melahirkan insan yang berdaya saing dan mampu berfikir dengan kritikal.

Katanya, anak perlu diterapkan dengan kemahiran berfikir sejak kecil mengenai apa yang mereka boleh dan tidak boleh lakukan serta membantu mereka memahami sebabnya.

Dari segi akademik pula, kata Dr Khaidzir, ibu bapa perlu bekerjasama dengan guru dan mengambil positif setiap teguran guru mengenai anak mereka walaupun kemungkinan kedengaran 'pedih', sekiranya mereka mahu anak berjaya.

"Teguran guru demi kebaikan pelajar sendiri dan ibu bapa tidak boleh terlalu emosi atau menganggapnya terlalu peribadi.

"Sikap sesetengah ibu bapa yang tidak boleh terima jika anak mereka ditegur memberi mesej yang salah kepada anak masing-masing dan merosakkan mereka.

"Sepatutnya kasih sayang perlu disertakan dengan keinginan melihat anak berjaya, lalu setiap kelemahan anak perlu diberi perhatian dan diperbaiki dengan teguran positif, bukannya hidup mengharapkan pujian semata-mata," katanya

Kredit: http://www.hmetro.com.my/node/4853